14 April, 2012

Media : Zahrain Gagal Kekal Kerusi, Foaz Presiden Baru


AHLI Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim gagal mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) apabila tewas dalam pemilihan yang diadakan sempena mesyuarat agung tahunan, hari ini.
Zahrain hanya mendapat 16 undi berbanding 21 undi yang diperoleh perunding pembinaan bebas, Mohd Foaz Hamid yang pertama kali bertanding dalam pemilihan jawatankuasa badan sukan itu.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, Pengerusi Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS), Dr Zainuddin Md Wazir dipilih memegang jawatan itu selepas penyandangnya sebelum ini Raja Munir Shah Raja Mustapha menarik diri apabila kedua-dua mereka mendapat undi yang sama.
Turut dipilih Mohd Azizudin Md Wazir dan Amer Yusoff Mohamed Hassan sebagai Naib Presiden.
Mohd Foaz ketika ditemui media berkata, beliau akan berusaha mengembalikan kegemilangan pasukan Harimau Kumbang yang pernah menjadi pasukan yang dihormati.
Menurutnya beliau menyasarkan pasukan Pulau Pulau Pinang akan kembali menyertai Liga Perdana dalam tempoh dua tahun dan seterusnya menyertai Liga Super.
“Saya berharap jawatankuasa baru yang dipilih ini akan lebih aktif dan sentiasa turun padang bagi meningkatkan lagi mutu pasukan Pulau Pinang.
“Dengan kelebihan yang ada, saya akan cuba mendapatkan kebenaran daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Kerajaan Negeri bagi membolehkan kita menggunakan semula Stadium Bandaraya untuk perlawanan di sini selain cuba mengembalikan sokongan rakyat Pulau Pinang terhadap pasukan yang dilihat kian suram,” katanya.
Sementara itu, Mohd Foaz yang ditanya mengenai dakwaan pelbagai pihak yang mengatakan beliau ditaja oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk bertanding jawatan itu serta ditawarkan beberapa projek sekiranya memenangi pada pemilihan jawatan presiden berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana beliau tidak pernah bertemu dengan Ketua Menteri sebelum ini.

© Sinar Harian

3 ulasan:

ternyata pemilihannya adalah tepat.

Semoga pasukan ini dapat menghadirkan sinar yang lama menyuram..

Catat Ulasan