Bekas pemain import skuad Harimau Kumbang, Merzagua Abderrazzak bertekad untuk menjulang pasukan Pulau Pinang kembali ke zaman kegemilangannya seperti 10 tahun lalu.
Merzagua, 45, yang kini kembali ke Pulau Pinang dengan memegang jawatan baru sebagai ketua jurulatih mengakui berasa sedih melihat nasib pasukan itu yang kini mengalami zaman suram sehingga terpaksa bermain dalam Liga FAM.
"Saya terkejut dan sedih apabila mengetahui Pulau Pinang kini bukan lagi merupakan pasukan elit dalam Liga Malaysia malah meniti musim yang cukup suram.
"Bagaimanapun, sebagai Ketua Jurulatih baru, saya harus memandang ke hadapan dan berusaha sebaik mungkin untuk menaikkan pasukan ke tahap yang lebih baik. Tidak mustahil kami mampu melakukannya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi baharu pasukan itu di sini, semalam.
Namun demikian, jurulatih yang berasal dari Maghribi itu berkata, beliau juga mempunyai misi peribadi iaitu mahu beraksi semula sebagai pemain pasukan itu jika berjaya melangkah ke Liga Perdana Musim depan.
"Peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini tidak membenarkan pemain import beraksi dalam Liga FAM dan jika naik ke Liga Perdana, saya rasa masih boleh bermain kerana dalam masih mengekalkan stamina dan kecergasan," ujarnya.
Ditanya tentang 'kehilangannya' dari kancah liga tempatan, Merzaggua berkata, sepanjang tempoh tersebut beliau telah melatih pasukan TNB Kelantan, sebuah kelab di Singapura serta beberapa kelab di negaranya selain mendapatkan lesen kejurulatihan di Jerman dan melatih sebuah kelab di negara itu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Mohd. Foaz Hamid berkata, pasukannya meletakkan beberapa sasaran untuk musim ini dengan fokus utama diberikan bagi menjuarai Liga FAM.
"Kami juga menyasarkan untuk mara ke peringkat suku akhir bagi saingan Piala FA dan jika ke berjaya ke separuh akhir, ia merupakan bonus kerana pasukan lain yang bertanding cukup hebat," katanya
Menurutnya, sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai kerana pasukan berkenaan menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika perlawanan pra musim termasuk mengaibkan pasukan Liga Super, Perak 1-0 selain menampilkan aksi kemas ketika bertemu Kelantan, N.S. Betaria dan Perlis.
Menurutnya, untuk musim ini, Pulau Pinang mendaftarkan 24 orang pemain dan telah mendapatkan khidmat lapan orang bekas pemain USM FC selain masing-masing seorang bekas pemain Felda United, Johor FC, Kedah dan Shahzan Muda.
Kali terakhir Pulau Pinang mengecap nikmat bergelar juara adalah pada 2002 dalam Piala FA selain pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali.
© Utusan Melayu (M) Bhd