26 Januari, 2013

Piala FA : Rekod Tanpa Kalah PDRM Tercalar, Pesta Gol di Bandaraya

Rekod tanpa kalah pendahulu Liga Perdana, PDRM FA akhirnya tercalar dicakar Harimau Kumbang dalam saingan Piala FA pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka, petang kelmarin.

Kesebelasan utama Pulau Pinang menentang PDRM FA.
FOTO : Muhammad Sidek Karim

PDRM membuka tirai perlawanan dengan mendahului 1-0 tidak lebih dari 10 minit selepas berlangsungnya perlawanan menerusi jaringan pemain import Kaye Edrisar yang juga merupakan bekas pemain import Kelab Bola Sepak Staf Universiti Sains Malaysia musim lepas.

Pulau Pinang cuba bangkit dengan beberapa serangan tetapi gagal menembusi gawang pihak lawan manakala pasukan PDRM meneruskan usaha mereka mencari gol kedua untuk mengukuhkan lagi kedudukan. Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat babak pertama dibunyikan.

Bersambung babak kedua, Pulau Pinang mempamerkan corak permainan yang berbeza dari sebelumnya. Perubahan taktikal oleh Merzagua Abderrazak ini ternyata membuahkan hasil apabila Mohd Syafuan Riduwan menyamakan kedudukan pada minit ke-50 perlawanan.

Mohd Syafuan Riduwan meraikan golnya bersama rakan sepasukan.
FOTO : Muhammad Sidek Karim
Mohd Syafuan Riduwan menjadi wira apabila dia sekali lagi menjadi duri dalam daging Polis dengan meledakkan gol kemenangan buat pasukan Pulau Pinang di minit terakhir perlawanan sekali gus melayakkan Harimau Kumbang ke pusingan kedua Piala FA.

Kemenangan yang berpihak kepada pasukan Pulau Pinang ini sedikit sebanyak menggembirakan sebilangan kecil penyokong Pulau Pinang yang sanggup menghadirkan diri ke Stadium Hang Jebat untuk melihat pasukan kesayangan mereka beraksi.

Sebahagian kecil penyokong Pulau Pinang yang hadir.
FOTO : Muhammad Sidek Karim
Sementara itu, Stadium Bandaraya, Pulau Pinang meriah dengan pesta gol apabila sebuah lagi pasukan yang mewakili negeri Pulau Pinang iaitu PBAPP FC menewaskan Preah Khan Reach, pasukan jemputan dari Kemboja.

PBAPP FC yang rancak mengawal keseluruhan permainan mendahului 1-0 menerusi jaringan Khairool Anas Safri yang berjaya mengelirukan pertahanan Preah Khan Reach FC selepas hampir 30 minit beraksi di atas padang.

Gol kedua menyusul tidak lama kemudian apabila bola yang ditendang oleh pemain PBAPP FC cuba diselamatkan oleh pemain pertahanan Preah Khan Reach, namun tindakan pemain itu menyebabkan jaringan sendiri terhasil.

PBAPP FC kemudian menambah lagi jaringan menerusi Mohd Hazrul Shah yang bijak mengambil peluang akibat daripada kelekaan pertahanan Preah Khan Reach. Kedudukan 3-0 kekal sehingga tiupan wisel mengakhiri babak pertama.

Preah Khan Reach berjaya bangkit menjaringkan 1 gol selepas beberapa minit memasuki babak kedua. Namun begitu, gol tersebut bertukar menjadi gol saguhati apabila PBAPP FC mengukuhkan kedudukan dengan jaringan keempat oleh Hazrul Shah.

Bekas penyerang Pulau Pinang, Zaihisham Saad yang dibawa masuk sebagai pemain gantian memeriahkan lagi pesta gol PBAPP FC dengan menambah dua lagi jaringan untuk menyempurnakan perlawanan dengan keputusan, The Waterboys 6 Preah Khan Reach 1.

Pulau Pinang bakal melayani kunjungan Terengganu untuk pusingan kedua pada 26 Februari di Stadium Bandaraya selepas pasukan dari Pantai Timur Semenanjung itu berjaya menumpaskan juara Liga FAM musim lepas, KL SPA dengan keputusan 1-3. PBAPP FC pula akan bertandang ke Stadium Negeri, Kuching untuk berhadapan dengan pasukan dari Liga Perdana, Sarawak.


1 ulasan:

Catat Ulasan