07 April, 2013

GOL MASA TAMBAHAN MEMBERI 3 MATA PENTING

Bukit Jalil - Pasukan Pulau Pinang menurunkan kesebelasan utama yang terbaik bagi memastikan 3 mata penuh mampu diperolehi dalam perlawanan menentang Harimau Muda C petang tadi. Pulau Pinang yang menampilkan corak permainan yang menarik diseparuh masa pertama dengan hantaran-hantaran pendek tidak menunggu lama apabila Norizam Salaman mudah menolak masuk gol pertama pada minit ke 7 perlawanan selepas berlaku situasi kelam kabut didepan gol Harimau Muda C.
Pulau Pinang terus mengawal perlawanan dengan asakan bertali arus ke gawang gol lawan tetapi percubaan demi percubaan mudah dipatahkan oleh penjaga gol Harimau Muda C.

Pulau Pinang menampilkan corak permainan berbeza diseparuh masa kedua apabila di asak bertubi-tubi oleh barisan pemain muda negara dengan larian-larian pantas tetapi barisan pertahanan yang dikawal oleh Ismail Suboh berjaya menafikan kesemua serangan dengan baik. Serangan bertali arus ini akhirnya membawa padah kepada pasukan Pulau Pinang selepas Kamarul Hesam menjatuhkan penyerang lawan dalam kotak penalti pada minit ke-80 dan sepakan penalti ini mudah disempurnakan oleh Amirul Hisham .

Umpama tersedar dari mimpi pasukan Pulau Pinang kembali menyusun rentak permainan dengan mengatur semula serangan melalui Elias Sulaiman sehingga mendapat sepakan sudut pada minit 93. Elias Sulaiman bijak mencari pemain tinggi lampai Pulau Pinang iaitu Darwira Sazan yang melakukan tandukan ke dalam kawasan gol pihak lawan dan Norizam Salaman sekali lagi menjadi penyelamat apabila melakukan tandukan terbang bagi menjaringkan gol kedua pasukan Pulau Pinang.

Pulau Pinang akan bertemu Tumpat FA di Kelantan pada 10 April 2013. Pemain-pemain akan berehat malam ini sebelum bertolak ke Kelantan esok pagi bagi meneruskan MISI 3 Mata!!!.






Muhammad Sidek Karim,
Football Association of Penang (FAP)


0 ulasan:

Catat Ulasan