10 April, 2013

Tumpat FA Terperangkap Dengan Corak Permainan Pulau Pinang

Kota Bharu - Pulau Pinang yang turun dengan skuad tempang dalam perlawanan menentang Tumpat FA masih mampu mengejutkan pasukan lawan di laman lawan dengan keputusan 0 - 1 hasil jaringan pemain pertahanan iaitu Darwira Sazan. 

Dalam perlawanan ini, Ketua Jurulatih Pulau Pinang terpaksa melakukan rombakan disaat akhir selepas penyerang berbisa iaitu Norizam Salaman dan Syafuan Riduwan telah mengalami kecederaan semasa sesi memanaskan badan. Selepas kehilangan khidmat Mohamad Baser di bahagian serangan dan Kamarul Hesam di barisan pertahanan yang digantung satu perlawanan telah menyebabkan kesebelasan utama tidak dapat diturunkan.

Tanpa beberapa tonggak utama ternyata membawa kesan kepada corak permainan pasukan Pulau Pinang yang buntu untuk melakukan serangan pada separuh masa pertama dan hanya mampu melakukan satu percubaan merbahaya melalui sepakan jarak jauh yang dilakukan oleh Khairan Eroza berjaya ditempis oleh penjaga gol Tumpat FA.

Selepas rehat, Pulau Pinang tampil dengan aksi ala latin dengan menggunakan corak hantaran pendek yang menarik bagi memerangkap barisan pemain muda pasukan lawan. Kemantapan barisan tengah yang dibarisi pemain berpengalaman seperti Khairan Eroza, Danial Fadly, Dzariff Hasna dan Elias Sulaiman telah berjaya menghasilkan beberapa gerakan menarik yang mampu menghasilkan gol.

Pulau Pinang akhirnya berjaya mendapatkan gol melalui pemain pertahanan tengah iaitu Darwira Sazan selepas beliau menolak masuk bola yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol lawan yang cuba menghalang percubaan deras dari Khairan Eroza pada minit ke-61.

"Saya gembira dengan semua pemain kerana mereka sentiasa bekerja keras sepanjang perlawanan bagi memastikan kejayaan menjadi milik pasukan Pulau Pinang, saya berharap mereka akan meneruskan rentak kemenangan ini sehingga akhir musim, menurut kata Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Merzagua Abderrazak.

Pulau Pinang akan bertemu Melaka pada hari Ahad ini di Stadium Bandaraya.




Muhammad Sidek Karim,
Football Association of Penang (FAP)

0 ulasan:

Catat Ulasan