29 April, 2013

Menang Tetapi "Eksperimen" Hampir Menewaskan Pulau Pinang

Georgetown - Perlawanan pusingan kedua Liga FAM sekali lagi menemukan pasukan setempat iaitu Pulau Pinang menentang PBAPP FC yang berlansung petang tadi berkesudahan dengan pasukan "Abang" sekali lagi menewaskan "Adik" dengan keputusan 2 - 1.

PBAPP FC menurunkan kesebelasan terbaik dengan menurunkan kesebelasan utama yang berpengalaman diantara Mat Saiful, Khairul Iskandar, Megat Amir Faisal, manakala Pulau Pinang turun dengan percaturan yang agak berani dengan menurun 3 orang pemain baru yang didaftarkan untuk pusingan kedua iaitu Haslan, Hisham Sofi & Aminuddin.

Pulau Pinang bermula garang dengan melakukan asakan bertali arus ke arah gawang PBAPP FC dan memperolehi gol pertama melalui jaringan Mohamad Bashier Napae yang mudah menewaskan penjaga gol berpengalaman iaitu Megat Amir Faizal pada minit ke - 16. Mohamad Bashier Napae sekali lagi berjaya menewaskan Megat Amir Faisal pada minit ke 40 melalui tandukana lambung yang mengelirukan selepas menerima hantaran cantik daripada Khairan Eroza .

Selepas selesa di separuh masa pertama, Pulau Pinang umpama hilang punca tanpa sebarang percubaan dalam 30 minit pertama di separuh masa kedua hanya mampu menahan asakan bertubi-tubi daripada pasukan PBAPP FC yang melakukan banyak percubaan merbahaya namun dikecewakan oleh palang & tiang gol sahaja.

Aksi bersahaja pasukan Pulau Pinang akhirnya mengundang padah apabila penyerang berpengalaman PBAPP FC Amir Shahreen Mubin berjaya menewaskan Hairol Fazreen pada minit ke-84 melalui tandukan selepas menerima hantaran daripada sebelah kiri gawang gol Pulau Pinang.

Perlawanan ini berkesudahan dengan keputusan 2 - 1 sehingga wisel penamat dibunyikan walaupun PBAPP FC terus berusaha untuk menyamakan kedudukan. Perlawanan seterusnya hanya akan berlansung selepas "DEMAM PRU 13" iaitu akan menentang Kuantan FA pada 8 Mei 2013 di Kuantan, Pahang.




Muhammad Sidek Karim,
Football Association of Penang (FAP)


10 April, 2013

Tumpat FA Terperangkap Dengan Corak Permainan Pulau Pinang

Kota Bharu - Pulau Pinang yang turun dengan skuad tempang dalam perlawanan menentang Tumpat FA masih mampu mengejutkan pasukan lawan di laman lawan dengan keputusan 0 - 1 hasil jaringan pemain pertahanan iaitu Darwira Sazan. 

Dalam perlawanan ini, Ketua Jurulatih Pulau Pinang terpaksa melakukan rombakan disaat akhir selepas penyerang berbisa iaitu Norizam Salaman dan Syafuan Riduwan telah mengalami kecederaan semasa sesi memanaskan badan. Selepas kehilangan khidmat Mohamad Baser di bahagian serangan dan Kamarul Hesam di barisan pertahanan yang digantung satu perlawanan telah menyebabkan kesebelasan utama tidak dapat diturunkan.

Tanpa beberapa tonggak utama ternyata membawa kesan kepada corak permainan pasukan Pulau Pinang yang buntu untuk melakukan serangan pada separuh masa pertama dan hanya mampu melakukan satu percubaan merbahaya melalui sepakan jarak jauh yang dilakukan oleh Khairan Eroza berjaya ditempis oleh penjaga gol Tumpat FA.

Selepas rehat, Pulau Pinang tampil dengan aksi ala latin dengan menggunakan corak hantaran pendek yang menarik bagi memerangkap barisan pemain muda pasukan lawan. Kemantapan barisan tengah yang dibarisi pemain berpengalaman seperti Khairan Eroza, Danial Fadly, Dzariff Hasna dan Elias Sulaiman telah berjaya menghasilkan beberapa gerakan menarik yang mampu menghasilkan gol.

Pulau Pinang akhirnya berjaya mendapatkan gol melalui pemain pertahanan tengah iaitu Darwira Sazan selepas beliau menolak masuk bola yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol lawan yang cuba menghalang percubaan deras dari Khairan Eroza pada minit ke-61.

"Saya gembira dengan semua pemain kerana mereka sentiasa bekerja keras sepanjang perlawanan bagi memastikan kejayaan menjadi milik pasukan Pulau Pinang, saya berharap mereka akan meneruskan rentak kemenangan ini sehingga akhir musim, menurut kata Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Merzagua Abderrazak.

Pulau Pinang akan bertemu Melaka pada hari Ahad ini di Stadium Bandaraya.




Muhammad Sidek Karim,
Football Association of Penang (FAP)

07 April, 2013

GOL MASA TAMBAHAN MEMBERI 3 MATA PENTING

Bukit Jalil - Pasukan Pulau Pinang menurunkan kesebelasan utama yang terbaik bagi memastikan 3 mata penuh mampu diperolehi dalam perlawanan menentang Harimau Muda C petang tadi. Pulau Pinang yang menampilkan corak permainan yang menarik diseparuh masa pertama dengan hantaran-hantaran pendek tidak menunggu lama apabila Norizam Salaman mudah menolak masuk gol pertama pada minit ke 7 perlawanan selepas berlaku situasi kelam kabut didepan gol Harimau Muda C.
Pulau Pinang terus mengawal perlawanan dengan asakan bertali arus ke gawang gol lawan tetapi percubaan demi percubaan mudah dipatahkan oleh penjaga gol Harimau Muda C.

Pulau Pinang menampilkan corak permainan berbeza diseparuh masa kedua apabila di asak bertubi-tubi oleh barisan pemain muda negara dengan larian-larian pantas tetapi barisan pertahanan yang dikawal oleh Ismail Suboh berjaya menafikan kesemua serangan dengan baik. Serangan bertali arus ini akhirnya membawa padah kepada pasukan Pulau Pinang selepas Kamarul Hesam menjatuhkan penyerang lawan dalam kotak penalti pada minit ke-80 dan sepakan penalti ini mudah disempurnakan oleh Amirul Hisham .

Umpama tersedar dari mimpi pasukan Pulau Pinang kembali menyusun rentak permainan dengan mengatur semula serangan melalui Elias Sulaiman sehingga mendapat sepakan sudut pada minit 93. Elias Sulaiman bijak mencari pemain tinggi lampai Pulau Pinang iaitu Darwira Sazan yang melakukan tandukan ke dalam kawasan gol pihak lawan dan Norizam Salaman sekali lagi menjadi penyelamat apabila melakukan tandukan terbang bagi menjaringkan gol kedua pasukan Pulau Pinang.

Pulau Pinang akan bertemu Tumpat FA di Kelantan pada 10 April 2013. Pemain-pemain akan berehat malam ini sebelum bertolak ke Kelantan esok pagi bagi meneruskan MISI 3 Mata!!!.






Muhammad Sidek Karim,
Football Association of Penang (FAP)


03 Mac, 2013

Liga FAM : Norizam Penyelamat Di Waktu Kecederaan

Pasukan Pulau Pinang yang memulakan permainan dengan serangan bertali arus melalui penyerangnya Bashier Napae, hampir meletakkan Pulau Pinang seawal minit ke-10 namun rembatan deras beliau hanya singgah di palang gol YBU FC. Pada minit ke-22, Syafuan Riduwan berjaya menanduk masuk gol pertama Pulau Pinang selepas berlaku kekalutan dihadapan pintu gol YBU FC.


Gol pertama ini telah menyentap semangat pasukan YBU FC dan hasilnya 3 minit kemudian mereka berjaya mendapat gol penyamaan hasil gol sendiri oleh Suhaidi Akmal apabila berlaku salah faham antara beliau dengan penjaga gol Pulau Pinang, Solehin Rodzi. Pasukan Pulau Pinang sekali lagi dikejutkan oleh pasukan YBU melalui sepakan penalti pada minit ke-33 selepas Fakhrul Radzi melakukan terjahan kasar di dalam kotak penalti.

Pulau Pinang berusaha keras dalam mendapatkan gol penyamaan dan akhirnya serangan balas pada minit ke-35 gol penyamaan berjaya dihasilkan menerusi Bashier Napae. Keputusan 2-2 kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Di separuh masa kedua, perlawnan agak hambar apabila pemain YBU FC dilayangkan kad merah pada minit ke-60 dan corak bertahan yang ditunjukkan oleh YBU FC telah menyukarkan pasukan Pulau Pinang mengatur serangan. Gol kemenangan hanya diperolehi pada masa kecederaan apabila Norizam Salaman melakukan rembatan deras dalam keadaan kelam kabut dihadapan pintu gol YBU FC.

Kemenangan ini mengembirakan hampir 100 orang warga Pulau Pinang yang sama-sama turun ke Stadium Perak bagi memberikan sokongan kepada pasukan Pulau Pinang.






Muhammad Sidek Karim,

Football Association of Penang (FAP)

10 Februari, 2013

Persahabatan : Pulau Pinang Merayakan Tahun Baru Cina Dengan Kemenangan

Pulau Pinang merayakan Tahun Baru Cina dengan kemenangan dalam aksi perlawanan persahabatan menentang UiTM FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang semalam.

Kesebelasan utama Pulau Pinang semalam.
FOTO : Muhammad Sidek Karim
Babak pertama menyaksikan percubaan terbaik perlawanan dihasilkan oleh pemain bernombor 11 UiTM FC  yang melepaskan rembatan jarak jauh tetapi percubaannya itu hanya sekadar terkena tiang gol yang kemudiannya ditangkap kemas oleh penjaga gol Pulau Pinang, Hairol Fazreen.

Pulau Pinang disajikan dengan deretan peluang tetapi gagal dimanfaatkan sepenuhnya apabila kebanyakan percubaan mereka tersasar. Gabungan penyerang dan pemain tengah pasukan Pulau Pinang turut mempamerkan corak permainan one-two yang menghiburkan hati para penonton.

Penonton dari Dalat International School, Pulau Pinang.
FOTO : Muhammad Sidek Karim
Kedua-dua pasukan tampil cemerlang tetapi tuah lebih memihak kepada pasukan tuan rumah apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti setelah Basher Napae dijatuhkan di dalam kotak penalti Sang Singa. Ketua pasukan, Zharif Hasna tampil untuk menyempurnakan sepakan tersebut.

Bashier Napae dijatuhkan oleh pemain UiTM FC (No 20).
FOTO : Muhammad Hafizzuddin
Kapten Pulau Pinang, Zharif Hasna menyempurnakan sepakan penalti.
FOTO : Muhammad Hafizzuddin

UiTM FC terus berusaha untuk menyamakan kedudukan dan mereka sekali lagi diberikan peluang apabila mendapat sepakan percuma. Namun begitu, sepakan percuma tersebut ditampan keluar oleh Hairol Fazreen yang jelas memperagakan aksi terbaiknya semalam.

Bersambung babak kedua, Pulau Pinang terus mengasak pasukan UiTM FC dan mereka diberi peluang menerusi sepakan percuma tidak jauh dari gawang pihak lawan. Sayangnya, sepakan percuma yang diambil oleh Elias Sulaiman itu menyaksikan bola terkena tiang gol pihak lawan.

Berselang beberapa minit kemudian, Pulau Pinang sekali lagi dihadiahkan sepakan percuma. Kali ini giliran Zharif Hasna pula untuk menyempurnakan tugas tersebut. Sepakan ketua pasukan Harimau Kumbang itu gagal menembusi gawang gol pihak lawan apabila berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gawang UiTM FC.

Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan melalui sepakan penalti itu bertukar menjadi gol kemenangan pasukan Pulau Pinang setelah pengadil meniup wisel menamatkan perlawanan. Kemenangan ini akan menyuntik semangat pemain untuk perlawanan pertama Liga FAM menentang Kuantan FA pada 17 Februari nanti


Anak jati yang sentiasa bersama Pulau Pinang.
FOTO : Muhammad Sidek Karim

26 Januari, 2013

Piala FA : Rekod Tanpa Kalah PDRM Tercalar, Pesta Gol di Bandaraya

Rekod tanpa kalah pendahulu Liga Perdana, PDRM FA akhirnya tercalar dicakar Harimau Kumbang dalam saingan Piala FA pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka, petang kelmarin.
Kesebelasan utama Pulau Pinang menentang PDRM FA.
FOTO : Muhammad Sidek Karim

PDRM membuka tirai perlawanan dengan mendahului 1-0 tidak lebih dari 10 minit selepas berlangsungnya perlawanan menerusi jaringan pemain import Kaye Edrisar yang juga merupakan bekas pemain import Kelab Bola Sepak Staf Universiti Sains Malaysia musim lepas.

Pulau Pinang cuba bangkit dengan beberapa serangan tetapi gagal menembusi gawang pihak lawan manakala pasukan PDRM meneruskan usaha mereka mencari gol kedua untuk mengukuhkan lagi kedudukan. Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat babak pertama dibunyikan.

Bersambung babak kedua, Pulau Pinang mempamerkan corak permainan yang berbeza dari sebelumnya. Perubahan taktikal oleh Merzagua Abderrazak ini ternyata membuahkan hasil apabila Mohd Syafuan Riduwan menyamakan kedudukan pada minit ke-50 perlawanan.

Mohd Syafuan Riduwan meraikan golnya bersama rakan sepasukan.
FOTO : Muhammad Sidek Karim
Mohd Syafuan Riduwan menjadi wira apabila dia sekali lagi menjadi duri dalam daging Polis dengan meledakkan gol kemenangan buat pasukan Pulau Pinang di minit terakhir perlawanan sekali gus melayakkan Harimau Kumbang ke pusingan kedua Piala FA.

Kemenangan yang berpihak kepada pasukan Pulau Pinang ini sedikit sebanyak menggembirakan sebilangan kecil penyokong Pulau Pinang yang sanggup menghadirkan diri ke Stadium Hang Jebat untuk melihat pasukan kesayangan mereka beraksi.

Sebahagian kecil penyokong Pulau Pinang yang hadir.
FOTO : Muhammad Sidek Karim
Sementara itu, Stadium Bandaraya, Pulau Pinang meriah dengan pesta gol apabila sebuah lagi pasukan yang mewakili negeri Pulau Pinang iaitu PBAPP FC menewaskan Preah Khan Reach, pasukan jemputan dari Kemboja.

PBAPP FC yang rancak mengawal keseluruhan permainan mendahului 1-0 menerusi jaringan Khairool Anas Safri yang berjaya mengelirukan pertahanan Preah Khan Reach FC selepas hampir 30 minit beraksi di atas padang.

Gol kedua menyusul tidak lama kemudian apabila bola yang ditendang oleh pemain PBAPP FC cuba diselamatkan oleh pemain pertahanan Preah Khan Reach, namun tindakan pemain itu menyebabkan jaringan sendiri terhasil.

PBAPP FC kemudian menambah lagi jaringan menerusi Mohd Hazrul Shah yang bijak mengambil peluang akibat daripada kelekaan pertahanan Preah Khan Reach. Kedudukan 3-0 kekal sehingga tiupan wisel mengakhiri babak pertama.

Preah Khan Reach berjaya bangkit menjaringkan 1 gol selepas beberapa minit memasuki babak kedua. Namun begitu, gol tersebut bertukar menjadi gol saguhati apabila PBAPP FC mengukuhkan kedudukan dengan jaringan keempat oleh Hazrul Shah.

Bekas penyerang Pulau Pinang, Zaihisham Saad yang dibawa masuk sebagai pemain gantian memeriahkan lagi pesta gol PBAPP FC dengan menambah dua lagi jaringan untuk menyempurnakan perlawanan dengan keputusan, The Waterboys 6 Preah Khan Reach 1.

Pulau Pinang bakal melayani kunjungan Terengganu untuk pusingan kedua pada 26 Februari di Stadium Bandaraya selepas pasukan dari Pantai Timur Semenanjung itu berjaya menumpaskan juara Liga FAM musim lepas, KL SPA dengan keputusan 1-3. PBAPP FC pula akan bertandang ke Stadium Negeri, Kuching untuk berhadapan dengan pasukan dari Liga Perdana, Sarawak.


24 Januari, 2013

Piala FA : Harimau Kumbang Bakal Diuji Polis

Pulau Pinang bakal diuji pasukan PDRM FA dalam saingan Piala FA pusingan kalah mati yang akan bermula pada 25 Januari 2013, esok, di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Skuad Pulau Pinang 2013 ketika perlawanan persahabatan menentang Perak bulan lepas.
FOTO : Muhammad Sidek Karim.

Selepas beberapa siri perlawanan persahabatan yang diadakan, Pulau Pinang hanya berjaya meraih satu kemenangan ketika menentang Perak, dua seri (menentang Sun Pegasus Hong Kong dan PSMS Medan Indonesia) dan selebihnya tewas (menentang Perlis, Kelantan dan NS Betaria).

Keadaan ini membimbangkan segelintir penyokong setia Harimau Kumbang apabila dibandingkan dengan prestasi PDRM yang selesa menduduki tempat teratas di dalam saingan Liga Premier dan belum pernah lagi tewas dalam saingan tersebut.

Sementara itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP FC), sebuah kelab dari Pulau Pinang, akan membuat penampilan pertama mereka dalam saingan Piala FA apabila diundi menentang Preach Khan Reach, pasukan jemputan dari Kemboja.

Pada saingan Piala FA tahun lepas, Pulau Pinang terpaksa berhempas pulang awal apabila tewas 1-2 ke tangan Preach Khan Reach di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pulau Pinang dan PBAPP FC, masing-masing mengharapkan kemenangan pertama dalam saingan berprestij tahun ini sementara menunggu sepak mula Liga FAM yang akan berlangsung pada 17 Februari 2013 nanti.



SAINGAN PIALA FA PUSINGAN KALAH MATI :

PDRM lawan PULAU PINANG,
Stadium Hang Jebat, Melaka.
4:15 Petang.



PBAPP FC lawan PREACH KHAN REACH (CAM),

Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
4:15 Petang.

12 Januari, 2013

Media : Harimau Kumbang Sasar Gelaran Juara Liga FAM 2013


PERSATUAN Bolasepak Pulau Pinang (FAP) meletakkan sasaran untuk mendapat tempat pertama dalam Liga FAM bagi membolehkan pasukan itu layak ke Liga Perdana.

Presiden FAP Mohd Foaz Hamid berkata, sasaran itu realistik kerana skuad negeri berkenaan bakal dibarisi oleh ramai pemain muda pada saingan musim ini.

Selain itu, katanya pasukan tersebut juga telah mempersiapkan diri dengan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Perlis, Kelantan dan Perak serta menentang kelab dari Hong Kong.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran jersi pasukan negeri dan memperkenalkan 24 pemain. Skuad itu dibimbing oleh Merzagua Abderrazak.

Mohd Foaz berkata, seramai lapan pemain daripada pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) FC telah diserap ke dalam skuad Pulau Pinang pada musim ini.

Terdahulu, pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada wakil Aman Palestin.

© Bernama

07 Januari, 2013

Media : Merzagua Berazam Mahu Kembalikan Taring Harimau Kumbang


Bekas pemain import skuad Harimau Kumbang, Merzagua Abderrazzak bertekad untuk menjulang pasukan Pulau Pinang kembali ke zaman kegemilangannya seperti 10 tahun lalu.

Merzagua, 45, yang kini kembali ke Pulau Pinang dengan memegang jawatan baru sebagai ketua jurulatih mengakui berasa sedih melihat nasib pasukan itu yang kini mengalami zaman suram sehingga terpaksa bermain dalam Liga FAM.

"Saya terkejut dan sedih apabila mengetahui Pulau Pinang kini bukan lagi merupakan pasukan elit dalam Liga Malaysia malah meniti musim yang cukup suram.

"Bagaimanapun, sebagai Ketua Jurulatih baru, saya harus memandang ke hadapan dan berusaha sebaik mungkin untuk menaikkan pasukan ke tahap yang lebih baik. Tidak mustahil kami mampu melakukannya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi baharu pasukan itu di sini, semalam.

Namun demikian, jurulatih yang berasal dari Maghribi itu berkata, beliau juga mempunyai misi peribadi iaitu mahu beraksi semula sebagai pemain pasukan itu jika berjaya melangkah ke Liga Perdana Musim depan.

"Peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini tidak membenarkan pemain import beraksi dalam Liga FAM dan jika naik ke Liga Perdana, saya rasa masih boleh bermain kerana dalam masih mengekalkan stamina dan kecergasan," ujarnya.

Ditanya tentang 'kehilangannya' dari kancah liga tempatan, Merzaggua berkata, sepanjang tempoh tersebut beliau telah melatih pasukan TNB Kelantan, sebuah kelab di Singapura serta beberapa kelab di negaranya selain mendapatkan lesen kejurulatihan di Jerman dan melatih sebuah kelab di negara itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Mohd. Foaz Hamid berkata, pasukannya meletakkan beberapa sasaran untuk musim ini dengan fokus utama diberikan bagi menjuarai Liga FAM.

"Kami juga menyasarkan untuk mara ke peringkat suku akhir bagi saingan Piala FA dan jika ke berjaya ke separuh akhir, ia merupakan bonus kerana pasukan lain yang bertanding cukup hebat," katanya

Menurutnya, sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai kerana pasukan berkenaan menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika perlawanan pra musim termasuk mengaibkan pasukan Liga Super, Perak 1-0 selain menampilkan aksi kemas ketika bertemu Kelantan, N.S. Betaria dan Perlis.

Menurutnya, untuk musim ini, Pulau Pinang mendaftarkan 24 orang pemain dan telah mendapatkan khidmat lapan orang bekas pemain USM FC selain masing-masing seorang bekas pemain Felda United, Johor FC, Kedah dan Shahzan Muda.

Kali terakhir Pulau Pinang mengecap nikmat bergelar juara adalah pada 2002 dalam Piala FA selain pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali.

© Utusan Melayu (M) Bhd

27 Disember, 2012

Senarai Pemain Pulau Pinang Tahun 2013

SENARAI PASUKAN PULAU PINANG 2013
PENJAGA GOL
NO. JERSINAMA PEMAINBEKAS PASUKAN
1Mohd Solehin RodziUSM FC
22Hairol Fazreen Abu HassanPerlis FA
25Amir Omar KhataChanthaburi FC (Thailand)
PERTAHANAN
2Ismail SubohJohor FC aka Johor Darul Takzim FC
3Mohd Fitri JamaludinUSM FC
4Sany Mat IsaKedah FA
5Khairan Eroza RazaliPahang FA
9Suhaidi AkmalChanthaburi FC (Thailand)
11Darwira SazanUSM FC
18Fakhrul Radzi YaacobUSM FC
19Kamarul Hesam KadriPerak FA
26Muhd Shafiq SafaruddinUSM FC
TENGAH
6Danial Fazly AbdullahATM FA
7Mohd Zharif HasnaPBDKT T-Team FC
8Mohd Hisyam ShofiPB Melayu Kedah
12Elias SulaimanUSM FC
13Mohd Hafiz Che HassanFA Penang
14Khairul Anwar IdrisUSM FC
15Azrul Abdul RahimKuantan Port Shahzan Muda SC
16Giri Ther ArmuhumFA Penang
20Mohd Syafuan RiduwanJohor FC
PENYERANG
10Norizam SalamanFelda United FC
17Mohd Baser NapaeUSM FC
24Mohd HaslanNTFA
23Mohd AminuddinPB Melayu Kedah
27Mohd Amer AzaharPenang Free School / SUKMA Pulau Pinang

KREDIT CODE TABLE - MALAYSIA FOOTBALL - DIMOS

14 April, 2012

Media : Zahrain Gagal Kekal Kerusi, Foaz Presiden Baru


AHLI Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim gagal mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) apabila tewas dalam pemilihan yang diadakan sempena mesyuarat agung tahunan, hari ini.
Zahrain hanya mendapat 16 undi berbanding 21 undi yang diperoleh perunding pembinaan bebas, Mohd Foaz Hamid yang pertama kali bertanding dalam pemilihan jawatankuasa badan sukan itu.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, Pengerusi Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS), Dr Zainuddin Md Wazir dipilih memegang jawatan itu selepas penyandangnya sebelum ini Raja Munir Shah Raja Mustapha menarik diri apabila kedua-dua mereka mendapat undi yang sama.
Turut dipilih Mohd Azizudin Md Wazir dan Amer Yusoff Mohamed Hassan sebagai Naib Presiden.
Mohd Foaz ketika ditemui media berkata, beliau akan berusaha mengembalikan kegemilangan pasukan Harimau Kumbang yang pernah menjadi pasukan yang dihormati.
Menurutnya beliau menyasarkan pasukan Pulau Pulau Pinang akan kembali menyertai Liga Perdana dalam tempoh dua tahun dan seterusnya menyertai Liga Super.
“Saya berharap jawatankuasa baru yang dipilih ini akan lebih aktif dan sentiasa turun padang bagi meningkatkan lagi mutu pasukan Pulau Pinang.
“Dengan kelebihan yang ada, saya akan cuba mendapatkan kebenaran daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Kerajaan Negeri bagi membolehkan kita menggunakan semula Stadium Bandaraya untuk perlawanan di sini selain cuba mengembalikan sokongan rakyat Pulau Pinang terhadap pasukan yang dilihat kian suram,” katanya.
Sementara itu, Mohd Foaz yang ditanya mengenai dakwaan pelbagai pihak yang mengatakan beliau ditaja oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk bertanding jawatan itu serta ditawarkan beberapa projek sekiranya memenangi pada pemilihan jawatan presiden berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana beliau tidak pernah bertemu dengan Ketua Menteri sebelum ini.

© Sinar Harian